Sejarah Aqidah Asy’ariyah dan Maturidiyah

al-Asy’ariyah

Al-Hafiz Ibn `Asakir meriwayatkan di dalam kitabnya Tabyin Kadzib al-Muftari dan al- Hakim meriwayatkan dalam kitabnya al-Mustadrak sebab turun QS. al-Ma’idah: 54, lalu Rasulullah saw bersabda: “Mereka kaummu wahai Abu Musa”, dan Rasulullah saw menunjukkan dengan tangan baginda kepada Abu Musa al Asy`ari”.

Al-Hakim menghukumkan hadis di atas sebagai hadis sahih `ala shahih Muslim. Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Ibn Abi Hatim, Ibn Sa`d dalam kitabnya al-Tabaqat al-Kubra dan al-Tabrani dalam kitab al-Mu`jam al-Kabir. Al-Hafiz al-Haythami berkata di dalam kitabnya Majmu` al-Zawa’id bahawa rijal hadis tersebut adalah rijal al-sahih.

Al-Imam al-Qurtubi berkata di dalam kitab tafsirnya (al-Tafsir al-Qurtubi) jilid. VI, halaman. 220: “Al-Qushayri berkata:

“Maka para pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan di dalamnya oleh suatu kaum kepada seseorang nabi maka maksudnya ialah para pengikut”.

Berkaitan dengan hadis yang mempunyai maksud yang sama dengan hadis di atas iaitu dengan lafaz yang mafhumnya: “Mereka adalah kaum lelaki ini” sambil Nabi sallallahu`alaihi wasallam mengisyarat tangannya kepada Abu Musa al-Asy`ari.” Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda: Maksudnya: “Mereka adalah kaum orang ini.”
[Diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak]

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.

Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:
1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
lO.Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata

Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman.

Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’ irah. Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi.

Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah. Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

Al-Maaturidiyyah

Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.

Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asy’ ari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.

Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.

Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.

Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi” in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.

AL-ASHA^IRAH PEMIMPIN ILMU ISLAM DAN PEMBELA ISLAM

Al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan para pendokong atau pengikut beliau yang digelar al-Ash^ariyyun atau al-Asha^riyah mempunyai jasa besar dalam membersihkan umat Islam dari kekotoran aqidah ahli bidaah seperti aqidah al-Mu^tazilah, al-Jahmiyyah, al-Mujassimah dan al-Mushabbihah. Bahkan, kebanyakan para pendokong, pemimpin ilmu Islam dan pembela Islam adalah dari kalangan al-Asha^irah, sedangkan golongan mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka sejak berzaman sehingga kini dari segi ilmu, warak, taqwa dan jasa.

Antara ulama al-Asha^irah ialah daripada kalangan ulama hadis yang sampai ke tahap al-Hafiz yang menjadi pemimpin dalam ilmu hadis seperti al-Imam al-Hafiz al-Hujjah al-Faqih Shaykhul-Muhaddithin Abu Bakr al-Jurjani al-Isma^ili (penyusun al-Mustakhraj ^alal-Bukhari), al-Imam al-Kabir al-Hafiz al-Faqih al-Usuli Abu Bakr al-Bayhaqi, al-Hafiz Ibn ^Asakir (yang disifatkan sebagai tokoh yang utama daripada kalangan al-muhaddithin di Sham pada zamannya), Amirul-Mu’minin fil-Hadith al-Hafiz Ahmad ibn Hajar al-Asqalani, al-Hafiz Abu Nu^aym al-Asbahani, al-Hafiz al-Daraqutni, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi, al-Hafiz al-Silafi, al-Hafiz al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Daqiqil-^Id, al-Hafiz Qadil-Qudah Taqiyyud-Din al-Subki, al-Hafiz al-^Ala’i, al-Hafiz Zaynud-Din al-^Iraqi, al-Hafiz Waliyyud-Din al-^Iraqi, al-Hafiz al-Lughawi al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi, Muhaddith al-Diyaril-Maghbiyyah al-Hafiz al-Mujtahid al-Sayyid Ahmad ibn Siddiq al-Ghummari dan ramai lagi.

Selain itu, antara ulama al-Asha^irah lain yang amat berjasa kepada umat Islam ialah Mujaddid Kurun Keempat Hijriah al-Imam Abut-Tayyib Sahl ibn Muhammad, al-Shaykh Abu Muhammad al-Juwayni, al-Shaykh Abul-Ma^ali Imamul-Haramayn, al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir a l-Baghdadi, al-Ustadh Abul-Qasim al-Qushayri, al-Shaykh Abu Ishaq al-Shirazi, al-Imam Abu Bakr al-Baqillani, Shaykhul-Mutakallimin al-Imam Abu Bakr ibn Furak, al-^Arif biLlah al-Imam al-Sayyid ^Abdul-Qadir al-Jilani, al-^Arif biLlah al-Imam al-Sayyid Ahmad al-Rifa^i, Shaykhul-Islam wa-Sultanul-^Ulama’ al-^Izz ^Abdul-^Aziz ibn ^Abdis-Salam, al-^Arif biLlah, al-Imam al-Ghazali, Abul-Wafa’ Ibn Aqil al-Hanbali, Qadil-Qudah al-Damighi al-Hanafi, Abul-Walid al-Baji al-Maliki, al-Qadi ^Iyad, al-Imam Fakhrud-Din al-Razi, Abu ^Amr ibn al-Hajib al-Maliki, ^Ala’ud-Dun al-Baji, al-Shaykh Zakariyya al-Ansari, al-Shaykh Baha’ud-Din al-Rawwas al-Sufi, al-Imam al-Habib al-Sayyid ^Abdullah ibn ^Alawi al-Haddad, Mufti al-Shafi^iyyah bi-Makkah al-Sayyid Ahmad Zayni Dahlan, Musnidil-Hind WaliyyuLlah al-Dihlawi, Mufti Misr al-Shaykh Muhammad ^Illish al-Maliki, Shaykhul-Jami^il-Azhar ^Abdullah al-Sharqawi, al-Shaykh Abul-Hasan al-Qawuqji, al-Shaykh Husayn al-Jisr al-Tarabulusi, al-Shaykh ^Abdul-Basit al-Fakhuri Mufti Bayrut, al-Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari, al-Shaykh Dawud ibn ^Abdullah al-Fatani, al-Shaykh Zaynul-^Abidin al-Fatani Ra’is ^Ulama’il-Hijaz al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi, al-Shaykh al-Adib Wan Ahmad al-Fatani, al-Shaykh Muhammad Mukhtar ibn ^Utarid al-Buquri, Muhaddith al-Diyarish-Shamiyyah al-Akbar al-Shaykh al-Sharif Badrud-din al-Hasani, al-^Allamah al-Habib al-Sayyid ^Alawi ibn Tahir al-Haddad al-Hadrami Mufti Johor, al-Musnid al-Habib Abul-Ashbal Salim ibn Jindan al-Indunisi, al-^Alimul-^Allamah al-Sayyid ^Alawi ibn ^Abbas al-Maliki, al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad ^Arabi al-Tabbani, Musnidud-Dunya Muhammad Yasin al-Fadani, al-Shaykh Tuan Guru al-Haj ^Abdullah Lubuk Tapah al-Kalantani, Muhaddith al-Diyarish-Shamiyyah aw Khalifatish-Shaykh Badrud-Din al-Shaykh ^Abdullah al-Harari dan ramai lagi.

Selain itu, di kalangan al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah ada yang membela Islam dan umat Islam melalui kuasa pemerintahan seperti al-Sultanul-^Adil al-Mujahid Salahud-Din al-Ayyubi, al-Sultan Muzaffarud-Din Kukabri, al-Sultan Qalawun dan al-Sultan Muhammad al-Thani al-Fatih dan lain-lain lagi.

Sebenarnya, saya tidak bermaksud dengan senarai di atas untuk menjumlahkan kesemua al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah! Siapakah yang mampu menghitung semua bintang di langit atau siapakah yang tahu bilangan pasir di gurun melainkan Allah?!. Demikianlah betapa ramainya al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah… al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah golongan yang selamat!! Merekalah yang amat berjasa menyebarkan Islam ke seluruh dunia, di seluruh pelusuk benua dan kepulauan, di timur dan barat, di utara dan selatan sehingga majoriti umat Islam terdiri daripada al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah!

Namun hairan, di sana ada suara-suara janggal yang melempar pelbagai tuduhan dan kejian terhadap al-Asha^irah dan metode pengajian aqidah tauhid mereka. Suara-suara liar itu menuduh bahawa al-Asha^irah bukanlah Ahlus-Sunnah, bahkan ada yang mengkafirkan mereka atau menggolongkan mereka ke dalam puak al-Mu^attilah semata-mata menyerahkan makna nusus mutashabihat kepada Allah dan Rasulullah. Ada yang mendakwa bahawa metode pengajian tauhid secara ilmu kalam yang didokong oleh al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah (sifat 20 atau sifat 13) itu memundurkan umat Islam, tidak menggerunkan musuh Islam, dan menyusahkan, berbelit-belit, mengelirukan atau memeningkan kepala. Suara-suara pelik ini sebenarnya dimomokkan oleh golongan al-Wahhabiyyah yang menggelarkan diri mereka sebagai Salafiyyah. Sedangkan, tokoh rujukan utama mereka sendiri Ibn Taymiyah al-Harrani telah mengiktiraf jasa al-Asha^irah dalam ilmu usulud-din dengan mensifatkan mereka sebagai para pembantu usulud-din (sila lihat Fatawa Ibn Taymiyah, juz. 4).

Bagaima mungkin majoriti umat Islam ini boleh dihukumkan sebagai kafir al-Mu^attilah (golongan yang menafikan sifat-sifat Allah atau menafikan kewujudan Allah) atau golongan sesat? Sedangkan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam telah menyatakan bahawa kebanyakan umat baginda tidak tidak sesat dan inilah antara keistimewaan umat ini sebagaimana sabda baginda:

إن الله لا يجمع أمتي على ضلالة

“Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umatku di atas suatu kesesatan” [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ahmad dalam Musnad Ahmad].

Menurut riwayat Ibn Majah ada suatu tambahan:

فإذا رأيتم اختلافًا فعليكم بالسواد الأعظم

“Maka jika kamu melihat suatu perselisihan, maka kamu hendaklah bersama kumpulan yang paling besar”.

Hadis di atas disokong atau dikuatkan oleh hadis mawquf ke atas Abu Mas^ud al-Badri, iaitu:

وعليكم بالجماعة فإن الله لا يجمع هذه الأمة على ضلالة

“Dan kamu hendaklah bersama kumpulan kerana sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umat ini di atas suatu kesesatan” [Diriwayatkan oleh Ibn Abi ^Asim dalam al-Sunnah. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Muwafaqatul-Khabar al-Khabar berkata: “Isnadnya hasan”].

Hadis di atas juga disokong oleh hadis mawquf ke atas ^Abdullah ibn Mas^ud dan hadis init habit daripada beliau:

ما رءاه المسلمون حسنًا فهو عند الله حسن وما رءاه المسلمون قبيحًا فهو عند الله قبيح

“Suatu yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai baik maka perkara itu baik di sisi Allah, dan suatu yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai buruk maka perkara itu buruk di sisi Allah” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad Ahmad dan lihat Kashful-Astar ^an Zawa’idil-Bazzar oleh al-Hafiz al-Haythami. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Muwafaqatul-Khabar al-Khabar berkata: “(Hadis) ini mawquf hasan”].

Sesungguhnya pernyataan bahawa kebanyakan atau majoriti umat ini terpelihara dari kesesatan tidak menafikan hadis sahih ini, iaitu sabda Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة

“Satu golongan daripada umatku sentiasa zahir di atas kebenaran sehingga Kiamat berlaku” [Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak].

Sabdaan Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam ini bermaksud bahawa di kalangan umat baginda ada segolongan yang berpegang teguh dengan agama Islam secara sempurna, dan ini tanpa ragu bahawa golongan yang berpegang teguh dengan agama secara sempurna adalah kaum minoriti. Meskipun begitu, hadis tersebut tidaklah bermaksud bahawa kebanyakan orang Islam dalam keadaan sesat dari sudut aqidah sehingga keluar dari agama Islam sebagaimana yang didakwa secara terang-terangan oleh puak al-Wahhabiyyah dan golongan yang seumpama mereka.

Selain itu, sabdaan Nabi sallaLahu ^alayhi wa-sallam itu juga mengisyaratkan kepada kita bahawa ilmu serta perjuangan Islam akan sentiasa berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi sedari zaman penurunan wahyu ketika hayat Nabi Muhammad sallaLlahu alayhi wa-sallam hingga hari terakhir yang dikehendaki Allah untuk umat Islam. Fitnah al-Wahhabiyyah ke atas Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah boleh dianggap sebagai satu usaha dakyah mereka untuk memutuskan kesinambungan kebenaran Islam sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis tersebut. WaLlahu a^lam…

.

wallahu a’lam.

Sumber: http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=14

http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=15